Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.
Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.
Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah ‘Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Undang-undang ini datangnya daripada “code” orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.
Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).
Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.
Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegak dan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya berdasarkan tauhid.
Pendewaan Nilai-nilai Barat.
Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.:
“Mereka (ahli Kitab) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan mereka selain dari Allah.”-Surah at-Taubah: ayat 31.
Mujahid Sa’id Hawwa telah memberikan penjelasan dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meriwayatkan bahawa ‘Adi Bin Hatim at-Ta’i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. ‘Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada ‘Adi: “Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”
Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.
Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :
“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzailkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.” -Surah an-Nisa’: ayat 60.
Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.
Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.
Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.
Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.” - Surah Ali-’Imran: ayat 19.
“Dan Aku redha bagi kamu al-Islam sebagai ad-Din” - Surah al-Maidah: ayat 2.
Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :
"Sesiapa yang mencari selain daripada al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.” - Surah Ali ‘Imran: ayat 85.
“Apa yang ada selepas kebenaran melainkan kesesatan.” - Surah Yunus: ayat 32.
Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab dengan kebenaran.”
- Surah an-Nisa’: ayat 105
“Dialah yang mengutuskan rasul yang memberi pertunjuk dan dengan Din yang benar.” - Surah at-Taubah: ayat 33.
Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.
Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T.
Sunday, August 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment